JOHOR BAHRU – Johor Corporation (JCorp) menggalakkan generasi muda sentiasa bergiat aktif dan bergerak menjalankan aktiviti keusahawanan sebagai alternatif menjana pendapatan sekali gus menjamin masa depan yang cerah.
Menyedari hal sedemikian, JCorp melalui Bistari Young Entrepreneur Sdn Bhd menganjurkan Hari Bistari 2011 pada 24 dan 25 Februari 2011 bertempat di Dewan Tanjung Puteri, Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada).
Ketua Eksekutifnya, Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, Hari Bistari 2011 adalah program tahunan yang memberi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di dalam menjayakan program-program Bistari Johor Corporation iaitu Tunas Bistari, Didik Bistari dan Siswa Bistari.
Menurutnya, sebanyak 70 buah sekolah menengah, 100 buah sekolah rendah, 340 guru pembimbing dan 2,050 pelajar sekolah rendah serta menengah terlibat dalam program ini.
“Program ini dijalankan bertujuan memberi pengiktirafan kepada syarikat dan sekolah terbaik bagi program Tunas Bistari 2010 melalui Anugerah Kecemerlangan Tunas Bistari 2010.
“Selain itu, ia dilaksanakan sebagai melancarkan program Tunas Bistari yang mana melatih pelajar dengan ilmu pengetahuan dalam pengurusan perniagaan sebagai pendedahan awal kepada para pelajar bersaing dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif,” katanya semasa ucapan perasmian Hari Bistari 2011 di Dewan Tanjung Puteri, Persada, di sini semalam.
Kamaruzzaman berkata, Siswa Bistari berfokus menarik pembangunan mahasiswa menjadi usahawan agar mampu mengendalikan organisasi perniagaan yang besar dan kompleks.
“Sementara itu, Didik Bistari adalah program pembudayaan keusahawanan untuk murid-murid Tahun Lima dan Enam melalui dua pendekatan iaitu latihan di dalam kelas dan latihan praktikal yang dijalankan di sekolah dan penempatan para pelajar di premis perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, sempena program ini sebanyak 60 buah sekolah melibatkan 150 pelajar sekolah rendah dan 150 pelajar sekolah rendah seluruh Johor mengambil bahagian dalam Cabaran Catur Bistari 2011 yang di Plaza Kotaraya.
Pada majlis tersebut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fatimah muncul Johan dalam Anugerah Syarikat Cemerlang Tunas Bistari 2010, Naib Johan disandang oleh SMK Tun Sardon manakala tempat ketiga dimenangi Maktab Sultan Abu Bakar.
Sumber dipetik dari Sinar Harian
No comments:
Post a Comment